Contoh Jawapan Rumusan SPM


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mewujudkan tabiat pemakanan yang sihat dalam kalangan anak dan kepentingannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Kecenderungan kanak-kanak untuk memilih makanan segera mewujudkan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Lebih memburukkan keadaan, kanak-kanak terdedah dan tertarik pada iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan pada setiap hari. Makanan ringan sangat mudah diperoleh di merata-rata tempat malahan bukan suatu yang pelik apabila premis perniagaan yang menjual makanan segera banyak dibuka di hadapan pintu pagar sekolah.
             Makanan ringan ini manis, berwarna-warni dan mempunyai pek pembungkus yang menarik di samping bungkusan makanan ini dimuatkan dengan hadiah mainan kecil yang cukup mengujakan, terutamanya bagi kanak-kanak yang masih kecil.
            Akademik Pediatrik Amerika mencadangkan beberapa kaedah bagi menyusun atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak yang sihat. Kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam mewujudkan tabiat pemakanan yang sihat. Ibu bapa bertanggungjawab untuk menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama. Di samping itu, ibu bapa perlu menentukan jenis makanan, tempat dan waktu makan untuk anak-anak mereka.
            Anak pula perlu bertanggungjawab untuk memilih kuantiti makanan yang perlu dimakan. Hal ini berkemungkinan memerlukan tempoh masa yang lama tetapi tindakan ini dapat meningkatkan tahap disiplin dari aspek pemilihan makanan yang berkhasiat. Ibu bapa wajar mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat supaya dapat diteladani oleh anak-anak. Selain itu, saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Kempen Gaya Hidup Sihat menggalakkan masyarakat mengambil makanan mengikut piramid makanan dalam menu harian. Melalui amalan ini, masyarakat lebih mudah berbincang tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik bagi seisi keluarga.
Malahan, ibu bapa juga digalakkan untuk makan bersama-sama anak dalam tempoh yang kerap. Menu makanan yang disediakan perlu menarik, pelbagai dan segar. Jika mampu, anak boleh dibawa berjumpa pakar pemakanan atau hadir ke pusat kesihatan supaya pemeriksaan kesihatan dilakukan dan khidmat nasihat yang sewajarnya diperoleh. Nasihat doktor tentang tabiat makanan yang betul lebih dipercayai oleh anak berbanding dengan nasihat ibu bapa. Daripada perspektif agama, didikan tentang kepentingan penjagaan aspek pemakanan berdasarkan konsep bersih dan berkualiti menjadi tanggungjawab ibu bapa. Maka, ibu bapa perlu berusaha sebaik-baik mungkin supaya kaedah pemakanan dan cara hidup yang berkualiti selaras dengan agama dibudayakan. 
            Jika pemakanan anak tidak diselaras dan dikawal oleh ibu bapa, anak mudah menghidap penyakit kronik yang dapat memberikan kesan negatif. Oleh itu, pemilihan makanan yang tepat turut membantu seisi keluarga memiliki badan yang sihat. Ironinya, kita perlu mengambil makanan yang sihat supaya individu dan masyarakat menerima kesan positif daripada tabiat pemakanan ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah.  Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


Contoh Jawapan:

Petikan membincangkan cara-cara mewujudkan tabiat pemakanan yang sihat dalam kalangan anak di Malaysia.
Antara cara-caranya adalah menyediakan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama anak-anak. Di samping itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan makan makanan berkhasiat bersama-sama. Selain itu, anak-anak perlu mengawal kuantiti makanan mereka. Sehubungan itu, variasi makanan berkhasiat perlu untuk membuka selera anak-anak. Seterusnya, anak-anak perlulah menjamu makanan mengikut piramid makanan. Akhir sekali, ibu bapa haruslah memberi didikan agama tentang kepentingan penjagaan aspek makanan.

Antara kepentingannya adalah anak-anak akan kurang risikonya untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Selain itu, anak-anak dapat lebih berdisiplin dalam menjaga pemakanan.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing agar kesihatan insan muda Malaysia terjaga.


                                                                                                           (120 patah perkataan)

Comments

Popular posts from this blog

Kepentingan aktiviti riadah