Laporan IFSC


Laporan International Future Scientist Conference (iFSC) 2018

Pada 24 Julai sehingga 26 Julai yang lepas, program International Future Scientist Conference (iFSC) telah diadakan di Auditorium Pusat PERMATApintar® Negara. Program ini  merupakan salah satu program untuk pelajar level 2 Kolej PERMATApintar® untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka yang telah dijalankan selama setahun. Selain daripada pelajar Kolej PERMATApintar, terdapat juga pelajar-pelajar lain yang turut serta dalam program ini. Pada tahun ini, terdapat seramai 4 orang pelajar dan seorang guru pengiring dari Shibata High School yang terletak di Jepun turut hadir dalam program ini.
 Majlis perasmian program ini diadakan pada 24 Julai 2018 jam 2.30 petang. Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Varsiti Kita. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat PERMATApintar® Negara, Prof. Datuk Dr. Noriah binti Mohd. Ishak. Setelah Prof. Noriah selesai memberikan ucapan beliau, Timbalan Naib Canselor ( Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa dijemput untuk memberikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan program iFSC untuk tahun 2018 dengan paluan gong sebanyak 3 kali.
Pada hari kedua program ini berlangsung, para peserta program kelihatan giat membentangkan penyelidikan mereka kepada para juri yang tekun mendengar. Para peserta bersaing antara satu sama lain melalui pembentangan mereka untuk memenangi pingat dalam program ini. Antara penyelidikan yang dibentangkan adalah Ecze-Cure di mana ubat ini boleh digunakan untuk merawat Eczema. Selain itu, terdapat Eco-nomic ink Semashur yang merupakan pen papan putih yang murah dan lebih tahan berbanding pen yang ada di pasaran.
Majlis penutupan telah diadakan pada hari terakhir program ini. Tetamu kehormat, Prof Marzuki telah berucap tentang penyelidikan pelajar-pelajar yang amat memberangsangkan. Selepas itu, pengumuman pemenang pingat emas, perak dan gangsa diumumkan. Para pelajar Kolej PERMATApintar berjaya mendapat banyak pingat dalam program ini. Majlis pun berakhir dengan sesi bergambar dan makan tengah hari.
Ramai pelajar berpuas hati dengan program ini kerana mereka mendapat peluang untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka di hadapan pensyarah-pensyarah yang arif. Mereka juga mempunyai peluang untuk mendapat pengalaman berhadapan dengan orang-orang bijak pandai khususnya dalam bidang penyelidikan. Seorang murid dari St. John Instituition menyatakan hasrat beliau untuk menyertai program ini pada tahun seterusnya dan berharap agar program ini akan diteruskan pada masa akan datang.


Laporan disediakan oleh,

____________________
Yee Kin Kit.

Comments

Popular posts from this blog

Contoh Jawapan Rumusan SPM

Kepentingan aktiviti riadah