Kepentingan aktiviti riadah

       Dalam era pascamerdeka ini, ramai rakyat Malaysia yang lebih berat badan. Hakikatnya, Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai peratusan rakyat obes yang tertinggi  di Asia Tenggara. Ditambah pula dengan gaya hidup rakyat Malaysia yang tidak begitu baik ini seperti makan makanan segera pada setiap masa terutamanya pada waktu tengah malam, tidak mustahil rakyat Malaysia ini semua berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kronik. Oleh itu, kerajaan telah menyaran agar rakyat melakukan aktiviti riadah bersama-sama keluarga kerana terdapat banyak kelebihan daripada kekurangan melakukan aktiviti ini.

      Kepentingan perdana aktiviti riadah adalah dapat menyihatkan badan dan mengurangkan risiko mendapat penyakit. Aktiviti riadah akan menggerakkan semua bahagian tubuh badan kita. Apabila digerakkan, lemak dalam badan kita dapat dibakar. Dengan itu, risiko kita untuk mendapat penyakit kronik disebabkan lebih berat badan ini dapat dikurangkan. Selain itu, sisa-sisa toksik dalam badan kita dapat disingkirkan melalui peluh yang dikeluarkan apabila beriadah. Kita akan berasa lebih cergas apabila sisa toksik ini dikeluarkan. Oleh itu, aktiviti riadah amat penting dalam menjaga kesihatan kita.

     Selain itu, aktiviti riadah juga dapat memupuk nilai kasih sayang di antara keluarga. Kebiasaannya, aktiviti riadah dijalankan bersama-sama kawan ataupun keluarga. Oleh itu, apabila aktiviti riadah dijalankan bersama-sama, ikatan silaturahim antara keluarga dapat dieratkan. Hal ini dapat mengurangkan konflik di antara ahli keluarga dan juga memberi impak kepada anak-anak untuk tidak terpengaruh dengan perkara-perkara lain yang kurang baik kerana mereka akan berfikir tentang keluarga dahulu sebelum melakukan apa-apa perbuatan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti riadah amat penting dalam memupuk kasih sayang terutamanya kepada anak-anak.

      Di samping itu, masa terluang setiap insan dapat dimanfaatkan dengan aktiviti riadah. Riadah ini lebih banyak manfaatnya daripada melakukan aktiviti bermain permainan komputer pada masa lapang. Anak-anak akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti negatif seperti menghisap rokok dan vandalisme. Mereka juga dapat berkenalan dengan orang baharu dan lebih memahami masyarakat di sekelilingnya. Hal ini amat penting dalam pertumbuhan psikologi mereka. Ada juga segelintir orang yang akan makan apabila terdapat masa terluang. Oleh itu, mereka boleh mengelakkan diri daripada obesiti dengan melakukan aktiviti riadah yang menyebabkan mereka mengubah tabiat buruk mereka ini. Dengan itu, riadah  amat bermanfaat dalam mengisi masa lapang semua orang.
      
      Konklusinya, riadah mempunyai banyak manfaat kepada semua orang tanpa mengira usia dan darjat. Persoalannya, adakah semua orang akan melakukan aktiviti yang bermanfaat ini? Oleh itu, saya berharap agar semua orang dapat bersama-sama melakukan aktiviti riadah kerana ia adalah untuk kebaikan semua. Bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Contoh Jawapan Rumusan SPM