Latihan Pemenggalan Ayat (https://pppnukm.files.wordpress.com/2013/01/latihan-pemenggalan-ayat.pdf)
Sambung ayat-ayat pendek dalam petikan di bawah ini supaya menjadi tiga ayat
saja tanpa mengubah susunan dan makna asal ayat-ayat tersebut.
Latihan 1: Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara
kita. Binatang-binatang liar tersebut menjadi penghuni hutan sejak beberapa
lama dulu. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan. Kepupusan ini
berpunca daripada kegiatan manusia. Manusia berburu sesuka hati mereka.
Kepupusan berpunca daripada kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk
membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Penyelidikan
terhadap hidupan liar juga boleh dilakukan.
Jawapan:
Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita sejak
beberapa lama dahulu. Kini, binatang liar tersebut menghadapi kepupusan
disebabkan kegiatan manusia seperti memburu sesuka hati dan kegiatan
pembangunan. Langkah-langkah yang boleh digunakan untuk membendung kepupusan
hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran dan penyelidikan
terhadap hidupan liar.
Latihan 2:
Televisyen merupakan salah satu media sebaran am. Televisyen direka untuk
memberikan manfaat kepada manusia. Manfaat tersebut adalah dalam pelbagai
aspek. Malangnya, akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa
pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada
masyarakat telah dilakukan. Hasil penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa
adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat.
Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan
tersebut. Mereka menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan
yang dipaparkan.
Jawapan:
Televisyen merupakan salah satu media sebaran am yang direka untuk
memberikan manfaat kepada manusia dalam pelbagai aspek tetapi malangnya, pada
akhir-akhir ini, kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula.
Pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah
dilakukan dan hasil penyelidikan menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam
siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat. Malangnya, para penerbit filem
masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut dan menegaskan bahawa para
penonton terhibur dengan adegan-adegan yang dipaparkan.
Latihan 3:
Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen.
Rancangan-rancangan tersebut disiarkan oleh RTM. Rancangan-rancangan tersebut
terdapat di TV3 juga. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak
keganasan itu meningkat. Hal ini membimbangkan ibu bapa. Mereka bimbang
kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan
golongan remaja. Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik.
Mereka tidak bijak menilai sesuatu yang buruk juga.
Jawapan:
Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan televisyen yang
disiarkan oleh RTM dan TV3 semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Hal ini
menyebabkan ibu bapa bimbang kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran
kanak-kanak dan golongan remaja. Golongan-golongan ini masih belum bijak
menilai sesuatu yang baik mahupun sesuatu yang buruk.
Latihan 4:
Kementerian Pelajaran telah
memperkenalkan pendidikan asas komputer. Pendidikan ini adalah untuk para
pelajar di negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu
bapa. Hal ini kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang
berkenaan. Kekosongan tersebut ketara sekali di sekolah luar bandar. Banyak
pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar
luar bandar mempelajari komputer. Langkah ini diharapkan dapat menarik minat
pelajar mendalami bidang komputer juga.
Jawapan:
Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer untuk
para pelajar di negara ini. Langkah ini dialu-alukan oleh para ibu bapa kerana
langkah ini dapat mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan terutamanya di
sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini
memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari komputer dan menarik
minat pelajar mendalami bidang komputer.
Latihan 5:
Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul
sebuah buku. Buku ini tergolong dalam jenis novel kanak-kanak. Buku ini
dikarang oleh Darulsalam. Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti
ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid
bersama-sama dengan rakannya. Mereka bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terlibat
dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari. Nasib mereka baik kerana
akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.
Jawapan:
Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku yang tergolong dalam jenis
novel kanak-kanak dan dikarang oleh Darulsalam. Buku terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka ini menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama
dengan rakannya bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terlibat dengan satu kumpulan
penyeludup tanpa disedari dan mereka bernasib baik dapat berjaya menewaskan
kumpulan tersebut.
Latihan 6:
Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat. Kepesatan ini berlaku
sejak beberapa tahun yang lalu. Kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan.
Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini. Kedatangan mereka
adalah untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat
menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan. Keistimewaan-keistimewaan itu
dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.
Jawapan:
Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia amat pesat sejak beberapa tahun yang
lalu malah kestabilan ekonomi Malaysia berterusan. Faktor-faktor ini mendorong
rakyat asing datang ke sini untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf
kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan tetapi
keistimewaan tersebut dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.
Latihan 7:
Pencemaran alam berlaku pada tahap
yang serius. Keadaan ini mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran
tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia. Manusia memperlakukan bumi
sewenang-wenangnya. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mengaut
keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena
ganjil. Fenomena-fenomena tersebut termasuklah peningkatan suhu dan penipisan
lapisan ozon.
Jawapan:
Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius dan hal ini telah
mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada
sifat haloba manusia yang memperlakukan bumi sewenang-wenangnya untuk tujuan
mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan pelbagai fenomena ganjil
seperti peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.
Comments
Post a Comment